Nota 1: Diet


  DIET


Diet bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang individu. Pengambilan makanan adalah penting untuk memelihara dan mempertingkat kesihatan. Bagi tujuan ini, amalan pemakanan berdasarkan Peruntukan Diet Harian yang Disarankan dan Piramid Makanan amatlah disyorkan untuk mencapai diet yang seimbang.

1. Diet Seimbang
Diet seimbang bermaksud pengambilan makanan yang mengandungi semua nutrien seperti protein, karbohidrat, lemak, vitamin, garam mineral, air, dan pelawas dalam kuantiti yang diperlukan.

2. Faktor yang Mempengaruhi Pengambilan Diet
Pengambilan makanan untuk mengawal kesihatan yang baik bergantung pada keperluan fisiologi setiap individu seperti umur, jantina, saiz badan, aktiviti yang dijalankan, dan juga tahap kesihatan.

Dari segi umur,
  • kanak-kanak dan remaja memerlukan nutrien pembina tubuh kerana mereka sedang membesar
  • orang dewasa dan remaja yang cergas memerlukan lebih nutrien pembekal tenaga
  • golongan tua pula lebih memerlukan nutrien untuk memelihara kesihatan
Dari segi jantina pula,
  • kaum lelaki memerlukan lebih makanan pembekal tenaga daripada wanita kerana mereka lebih aktif dan mempunyai lebih tisu otot.
  • kaum wanita pula memerlukan lebih nutrien ferum untuk menggantikan kehilangan darah semasa haid dan bersalin.
Dari segi saiz badan,
  • individu yang bertubuh besar memerlukan lebih makanan pembekal tenaga
Dari segi aktiviti yang dijalankan,
  • pekerja buruh memerlukan lebih banyak makanan pembekal tenaga kerana mereka melakukan kerja berat
  • kerani pejabat tidak perlu banyak kerana hanya membuat kerja-kerja pejabat sahaja
Dari segi tahap kesihatan,
  • seorang pesakit memerlukan diet jenis cecair sahaja
  • orang yang sedang pulih memerlukan makanan pembina tubuh yang mudah dicernakan
Pengetahuan pendidikan terhadap pemilihan diet boleh menjadikan kita lebih prihatin untuk mengekalkan kesihatan yang baik. Contohnya, selepas mempelajari jenis-jenis dan fungsi-fungsi setiap nutrien, apakah yang akan anda makan jika mengalami sembelit? Ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan mempengaruhi kualiti dan kuantiti makanan yang diambil.

Pendapatan keluarga merupakan faktor yang mempengaruhi secara langsung dalam pemilihan makanan mengikut kemampuan masing-masing. Keluarga yang berpendapatan rendah masih boleh mengamalkan diet seimbang. Makanan mahal boleh digantikan dengan makanan yang lebih murah tetapi berkhasiat. Contohnya, ikan tenggiri yang mahal boleh digantikan dengan ikan sardin, peranan kedua-dua ikan tersebut mengandungi kandungan nutrien yang sama  dan merupakan sumber protein nilai biologi tinggi.

Dari segi geografi, diet dipengaruhi oleh iklim dan kemudahan infrastruktur. Iklim Malaysia sesuai untuk menghasilkan sumber makanan tempatan seperti beras, kelapa, dan pisang. Beras dan hasil beras menjadi bahan utama sajian harian. Kemudahan infrastruktur membolehkan sumber makanan diperoleh sepanjang masa.

KEPENTINGAN DIET SEIMBANG
  1. Memastikan pertumbuhan yang normal.
  2. Menghindari penyakit yang berkaitan dengan kekurangan nutrien.
  3. Memelihara perkembangan mental.
  4. Memelihara kesihatan.

PIRAMID MAKANAN
ARAS 4 : Makan sedikit sahaja ( lemak,minyak,gula )
ARAS 3 : Makan dengan sederhana ( daging,ayam,ikan,kekacang,hasil tenusu )
ARAS 2 : Makan lebih banyak ( sayur-sayuran,buah-buahan )
ARAS 1 : Makan paling banyak ( bijirin,hasil bijirin,ubi-ubian )


1.      Peruntukan Diet Harian yang Disarankan ( RDA ) satu jadual yang menunjukkan tahap keperluan nutrient harian mengikut kumpulan tertentu.

2.      Penghasilan tenaga oleh tiga nutrient makanan
(a)  1 g karbohidrat = 17 Kj / 4 kkal tenaga
(b)  1 g protein = 17 KJ / 4 kkal tenaga
(c)  1 g lemak = 38 KJ / 9 kkal tenaga
     
   PENGGUNAAN RDA  :
(a)    Menilai kuantiti makanan berhubung dengan kesihatan
(b)   Garis panduan menggubal polisi makanan
(c)    Membuat label makanan
(d)   Merancang menu harian











Ekonomi Rumah Tangga Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template for Bie Blogger Template Vector by DaPino