Dalam penyediaan sajian, terdapat pelbagai kaedah memasak yangboleh digunakan. Sajian dapat dihasilkan dengan lebih cepat, menarik, dan mempunyai kepelbagaian dari segi warna, tekstur, rupa, dan rasa. Penyediaan makanan menjadi bertambah mudah dan efisien dengan penggunaan pelbagai jenis alat penjimat masa.
1. Tujuan Memasak
Tujuan makanan dimasak adalah supaya makanan itu selamat dimakan, memudahkan pencernaan, membaiki rupa dan tekstur makanan, lebih menarik dan menyelerakan, mempelbagaikan masakan, dan menambahkan perisa makanan.
1.1 Keselamatan
Haba panas semasa memasak akan membunuh mikroorganisma yang terkandung dalam makanan. Ini dapat mengelakkan makanan daripada cepat rosak. Toksin asli dalam makanan seperti kacang panggang akan dapat dimusnahkan.
1.2 Memudahkan Pencernaan
Makanan dapat dilembutkan selepas dimasak. Ini menjadikan makanan itu lebih mudah dikunyah dan dicernakan. Contohnya daging, ubi kentang, telur, dan sayur berdaun hijau.
1.3 Membaiki rupa dan tekstur makanan
Makanan menjadi lebih menyelerakan dari segi rupa dan tekstur jika dimasak dengan kaedah yang sesuai. Contohnya ikan bilis yang digoreng sehingga garing dan wangi atau ditumis dengan sambal.
1.4 Mempelbagaikan masakan
Masakan boleh dimasak dengan pelbagai cara untuk menghasilkan masakan yang pelbagai, menarik, dan menyelerakan. Contohnya ubi kentang boleh digoreng, direbus, dipanggang, dan dijadikan krim. Selain itu, daging juga boleh dipanggang, digril, digoreng, dan direbus.
1.5 Menambahkan rasa makanan
Masakan yang dimasak akan bertindak balas dengan haba dan menghasilkan bau dan rasa yang sedap apabila perisa ditambah. Contohnya daging yang diperap dengan pelbagai perisa akan lebih sedap.
2. Prinsip Memasak
Prinsip memasak ialah penyediaan makanan dengan kaedah memasak yang sesuai. Kesan haba terhadap makanan melalui kaedah memasak yang berbeza dapat memperbaiki rupa, warna, tekstur, rasa, dan meminimumkan kehilangan nutrien dalam makanan.
Prinsip Memasak Makanan
1) Haba kering : Menggoreng, membakar, memanggang.
2) Haba lembab : Mengukus, mencelur, mereneh, mendidih, merebus
Membakar : Memasak makanan di dalam ketuhar panas mengunakan arus elektrik.
Prinsip membakar :
1) Susun tetingkat ketuhar mengikut jenis makanan yang hendak dimasak.
2) Panaskan ketuhar 10 minit sebelum makanan dimasak pada suhu yang dikehendaki, bergantung pada jenis makanan.
3) Tutup pintu pelahan – lahan.
4) Kurangkan suhu selepas 10 – 15 minit supaya makanan masak sepenuhnya.
5) Elakkan membuka pintu ketuhar semasa makanan dibakar.
Memanggang : Menggunakan haba yang sangat panas daripada elemen pemanas.
Prinsip memanggang :
1) Ketebalan potongan daging yang dipanggang hendaklah antara 2.4 cm – 7.5 cm.
2) Makanan hendaklah dilumur dengan minyak atau rempah bagi mencegah :
· Makanan menjadi terlalu kering.
· Memperbaiki rasa.
· Mengurangkan makanan menjadi mengecut.
3) Makanan boleh dibalut dengan kerajang aluminium atau daun pisang untuk mengekal jus makanan.
4) Makanan dibalikkan selalu supay amasak sama rata dan tidak hangus.